Demo image Demo image Demo image Demo image Demo image Demo image

24 Sebab Saya Mahu Menulis Buku

  • Monday, November 28, 2011
  • zana991
  • Ada 24 sebab (sebenarnya banyak lagi) mengapa saya mahu menulis buku, iaitu buku bercetak melalui mana-mana penerbit yang sudah berdaya saing, di mana sebab-sebab ini, atau kelebihannya, TIADA pada ebook. Di samping saya mahu menulis buku, saya juga akan terus menerbitkan produk-produk informasi digital.

    24 sebab tersebut adalah:

    1. Ia boleh dipegang oleh pembaca. Cetakannya berkualiti berbanding pembeli cetak sendiri (beli ebook dan cetak).

    2. Saya boleh bersahabat dengan para penulis buku yang mana mereka BUKAN penulis ebook. Setakat ini saya telah mempunyai ramai rakan penulis buku. Malah, sudah mengenali tuan punya penerbit buku. :D

    3. Pendapatan PASIF. Setiap enam bulan sekali (setahu saya), penulis buku akan mendapat bayaran royalti. Buku pada asasnya, penulisnya tidak perlu jual sendiri. Pihak penerbit akan melakukan pemasaran. Jika kena caranya, tidak mustahil dengan hanya royalti buku sahaja, mampu membina kekayaan dan kejayaan.

    Contohnya, Ain Maisarah yang saya sebutkan pada artikel sebelum ini, mampu membeli sebuah kondomium HANYA daripada hasil wang royalti novel-novelnya:
    ainmaisarah

    Sebuah kondo tiga bilik yang pemandangan balkoninya menghadap tasik dan menara berkembar KLCC. Jaraknya pula hanya 5 minit dari Mid Valley!

    Sumber: Rentetan Diari AinMaisarah Tahun 2009

    Ya, ya. Pasti akan ada yang berkata, jual ebook lagi mudah dan lebih cepat kaya. Betul, tapi saya tidak bersetuju. Mengapa? Jawapannya ada di akhir artikel ini.

    4. Buku boleh diletak dan disusun pada rak-rak di kedai buku. Ebook tidak boleh. Tidakkah bangga (bangga fitrah, bukan bangga riak) apabila melihat buku itu ada nama kita. Malah, tidak semua buku mampu memecah masuk kedai-kedai buku yang ternama seperti MPH dan Popular.

    5. Pemikiran pada kebanyakan orang: Buku bercetak adalah tetap yang terbaik.

    6. Semua orang boleh menulis ebook dan menjualnya walau berkualiti atau tidak. Tetapi jika buku, ia akan ditapis dan disaring dahulu. Bermaksud, tidak semua orang mampu ‘melepasinya’.

    7. Saya boleh menandatangani (autograf) buku tersebut untuk pembeli-pembeli dan peminat-peminat saya. Ebook boleh atau tidak? Tidak boleh. :lol:

    8. Saya boleh membawa balik beberapa naskhah ke kampung, dan berikan kepada ahli keluarga saya, jiran dan kawan-kawan. Mereka lebih ‘tabik hormat’ dengan buku dan tidak ambil pusing mengenai ebook. Sebelum ini saya ada menunjukkan ebook saya di komputer, tetapi riak muka mereka biasa-biasa sahaja. Kecewanya saya. Tetapi kali ini saya akan tunjuk buku pula!

    9. Dapat sampaikan mesej kepada sasaran melalui buku. Tidak semua orang suka beli dan baca ebook. Mereka lebih selesa membaca buku bercetak, lagi-lagi karya fiksyen yang berjela-jela.

    10. Buku saya akan disemak dan diedit oleh editor buku yang terlatih. Sebaliknya ebook yang ditulis sendiri, tiada editor yang dilantik. Yang syoknya, kita tidak perlu membayar editor di pihak penerbit buku tersebut. Jimat kos…

    11. Pihak penerbit yang akan uruskan segalanya untuk saya dari soal editing, format, design kulit buku, pemilihan tajuk yang sesuai dengan permintaan pasaran, sehinggalah kepada proses penerbitan dan pengedaran. Andai saya meninggal dunia kelak, mereka akan terus mengurus harta intelek tersebut dengan baiknya.

    12. Penerbit buku adalah sebuah organisasi yang besar. Sebarang masalah hak cipta dan sebagainya, mereka mempunyai pengalaman yang cukup luas dan mempunyai sokongan kuat yang tersendiri. Manakala bagi penulis ebook, biasanya amat sukar untuk berjuang bersendirian.

    13. Pembaca boleh tidur dengan buku saya, memeluk buku saya, membawa buku saya ke mana-mana sahaja dan menggenggam erat buku saya. Tidakkah ini sesuatu yang begitu manis sekali bagi seorang penulis buku?

    14. Kadar pembelian buku di Malaysia semakin meningkat dari tahun ke tahun. Ini memberi isyarat bahawa, para pembaca akan terus setia dengan buku dalam beberapa tahun yang akan mendatang.

    15. Dikatakan, karier sebagai penulis buku adalah setanding dengan penyanyi. Malah, lebih untung besar berbanding penyanyi. Jualan album mereka merudum jatuh dengan teruknya. Sebaliknya, jualan buku semakin meningkat naik! Bukti? Tanyalah mana-mana penerbit.

    16. Proses penjenamaan secara ‘leverage’. Saya hanya perlu menulis buku, tetapi yang lain-lain dilakukan oleh pihak penerbit. Penjenamaan diri saya secara offline akan tersebar ke seluruh Malaysia dengan mudah sekali tanpa perlu saya bersusah payah. Contohnya, bagi penerbit yang serius, mereka akan siapkan bahan promosi untuk kita yang mana kosnya ditanggung oleh mereka.

    17. Ini yang paling enak. Jika buku saya meletup di Malaysia, sudah pasti ia akan ‘dieksport’ ke luar negara. Ya, diterjemah! Salah satu negara yang akan mengimport adalah Indonesia.

    18. Buku saya nanti, boleh dibaca di dalam LRT oleh ramai orang seperti ini:
    baca-1

    Program Baca@LRT
    Baca@LRT

    Program Baca@LRT

    Sumber: Group Baca@LRT di Facebook

    19. Saya tidak sabar untuk buat satu Fan Page buku saya di Facebook yang mengumpulkan pembeli dan pembaca buku saya itu dari serata Malaysia atau dunia. Mengapa tunggu buku padahal ebook pun boleh dibuat Fan Page juga? Betul. Tapi saya sudah menggunakan sistem rekod pembeli (autoresponder) untuk berhubungan dengan mereka. Buku pula lain, sebab ia ‘offline’.

    20. Buku boleh dijadikan sebagai satu ‘tool’ untuk sebarang program training berkaitan. Juga semasa mengadakan talk, buku boleh dibawa sekali untuk dijual. Buku juga sesuai untuk dijadikan hadiah kahwin atau sebarang tujuan lain.

    Dijadikan cerita dalam sebuah program keusahawanan, seorang penulis buku bisnes, semasa menyatakan dirinya penulis buku sekian dan sekian, selepas tamat program, stok buku yang dibawanya habis dibeli. Huhu, syok kan?

    21. Sudah ada orang mengganggap saya adalah seorang penulis buku. Ada yang bertanya begini, “Ada tak buku En. Zul yang untuk para pelajar sekolah?” Soalan beliau seperti saya sudah ada buku. Jadi, saya perlu cepat-cepat tulis buku! Ini gara-gara saya terlalu aktif di Facebook yang selalu membawa ‘lagak’ seperti seorang penulis buku. :lol:

    22. Realiti…. Hakikatnya, kebanyakan (tidak semua) penulis ebook tidak akan membeli ebook orang lain terutama di dalam Bahasa Melayu. Kalau ada pun, dalam setahun berapa sahaja yang mereka beli. Saya tidak pasti mengapa ini berlaku. Pada pengamatan saya, mereka lebih suka membeli buku. Sebaliknya, mereka hanya lebih suka ebook mereka dibeli. Saya sudah hampir 4 tahun dalam bidang ebook. Jadi saya tahu realitinya.

    23. Selain buku saya diedarkan (dijual) oleh kedai-kedai buku, sekarang semakin banyak kedai-kedai buku Online (pengedar)! Inilah dikatakan sebagai leverage tanpa perlu kita sendiri yang menjualnya. Enak bukan?

    24. Tidak perlulah hipokrit mengatakan buku tidak bagus atau untungnya sedikit. Sebab para jutawan dan anda sendiri pun banyak membeli buku. Di sini bermaksud, buku tetap akan ada orang beli! Hohoho

    0 comments: