Demo image Demo image Demo image Demo image Demo image Demo image

Bagaimana tanggapan anda berkenaan ukuran kehidupan kita?

  • Tuesday, April 6, 2010
  • zana991
  • Adakah anda merasakan perjalanan hidup kita ini panjang atau pendek?
    Mungkin, kebanyakan kita hanya mengetahui kependekan umur kita, hanya apabila kita dijemput pulang oleh ALLAH SWT. Tetapi, ketika kita sedang melaluinya, kita terasa seperti umur kita sangat lama dan panjang.
    Sebab itu, bila kita diarahkan untuk taat kepada peraturan ISLAM, dan hidup mengikut perintah yang ALLAH telah tetapkan, kita terasa seperti hidup kita yang panjang itu telah menjadi sukar. Hal ini kerana, kita terasa seperti perlu lama duduk di bawah kongkongan.
    Ya kah?

    Satu hari, Dr Samirah Tohir, guru pelajaran Madkhal Ila Aqidah saya di University of Yarmouk, Jordan ada melakarkan sesuatu di atas papan putih.
    Lakarannya berbentuk begini:
    http://ms.langitilahi.com/hakikat-kehidupan-insan/
    Perjalanan Kehidupan Insan

    Hari itu, Dr Samirah Tohir telah berpesan kepada kami, ahli kelasnya, dengan satu pesan yang pada saya amat bermakna sekali. Katanya,
    “ Masa kita untuk bersusah payah, beramal, tunduk taat kepada ALLAH, hanya sebentar sahaja di dunia ini. Itulah dia semasa kita berada di alam kehidupan sebagai manusia. Kemudian kita akan mati, dan melalui alam barzakh. Kehidupan di alam barzakh sudah bergantung kepada amal kita di dunia. Panjang alam barzakh tidak kita ketahui. Seterusnya Israfil akan meniupkan sangkakala kedua ketika hari kebangkitan, dan kita akan berada di hari perhitungan. Hari itu, amal kita di dunia akan diperhitungkan dengan hitungan seketat-ketatnya. Lamanya hari itu, tidak kita ketahui. Amalan kita di dunia lah yang akan menentukan sama ada kita melepasi sirat atau tidak. Jika kita melepasi titian sirat, maka kita akan ke syurga. Jika kita tidak melepasi sirat, maka kita akan ke neraka. Semuanya ketika itu adalah bergantung kepada amal kita di dunia.”
    Kemudian Dr Samirah Tohir bertanya,
    “ Tahukah kamu berapa lama masa kita berada di syurga dan neraka?”
    Semua kami menggeleng tidak tahu.
    Dr Samirah Tohir menjawab,
    “ Selama-lamanya”
    Akhirnya saya nampak dengan jelas. Kita ini sebenarnya, beramal sebentar sahaja. Susah payah kita taat kepada ALLAH, perjuangan kita menentang kepuasan hawa nafsu serakah shahwat, memerangi tamak haloba dan perbuatan maksiat, menghadapi kesukaran menyebarkan ISLAM dan menyampaikan kebenaran, semuanya hanya sebentar sahaja. Sekitar dalam 100 tahun sahaja.
    Tetapi, kehidupan kita selepas itu, kehidupan kita di alam barzakh, kehidupan kita di Padang Mahsyar semasa hari perhitungan, dan kehidupan kita yang mempunyai dua kemungkinan tempat akhirnya yakni syurga dan neraka, semuanya bergantung kepada kehidupan kita yang dalam 100 tahun itu.
    Baik kita di dunia, maka baiklah kita di akhirat.
    Dibandingkan dengan tiga lagi alam yang menanti selepas alam kehidupan manusia, dengan alam yang terakhir bersifat kekal abadi, ternyata amal kita selama dalam sekitar 100 tahun itu adalah sedikit sahaja jika hendak dibandingkan dengan balasan yang akan kita dapati pada tiga alam seterusnya.
    Jika kita baik di dunia, maka kehidupan kita di barzakh akan dipermudahkan. Kehidupan kita di hari kebangkitan semasa perhitungan ALLAH sedang berjalan turut akan disenangkan. Dan pengakhiran kita adalah syurga, yang kekal abadi selamanya. Semuanya dalam kesenangan dan kelapangan, dan kali ini ia berbentuk abadi, dan tidak akan dirampas pergi.
    Jika kita buruk di dunia, maka kehidupan kita di barzakh akan disempitkan. Malaikat bersedia mengazab dari alam barkzakh lagi, dan dibukan pula lubang-lubang neraka memanaskan alam barzakh kita. Seterusnya, di hari perhitungan kita akan dibangkitkan dalam keadaan telanjang, di dalam lautan peluh dengan matahari dekat sejengkal di atas kepala. Kemudian kita akan dimasukkan ke dalam neraka, yang panasnya walau hanya terpercik kecilan apinya ke dunia, dunia akan hancur, dan di dalam neraka dasyat itu, kita akan kekal selama-lamanya di sana. Semuanya berbentuk kesusahan dan kesempitan, kesengsaraan dan kesedihan sahaja.
    Bila memandang-mandang rajah yang dilakarkan oleh Dr Samirah Tohir, saya secara peribadi menjadi insaf dengan kehidupan dan pengakhiran hidup. Sebentar sahaja rupanya kita hidup. Sebentar sahaja rupanya kita beramal. Kalau hendak dikira 100 tahun, dengan kehidupan di dalam tiga alam, kemudian dengan kehidupan terakhir yang berbentuk abadi, memang boleh dikatakan bahawa 100 tahun itu teramat pendek. Kita beramal sedikit, tetapi ALLAH ternyata hendak memberikan kita banyak.
    Benarlah bahawa, siapa yang berbuat kerosakan di atas muka bumi sepanjang kehidupannya, menentang agama ALLAH dan membelakangkan perintahNya sepanjang kehidupannya, maka dia benar-benar manusia bodoh yang melontarkan dirinya sendiri di dalam kerugian. Hal ini kerana, dia menganggap kehidupan pendek inilah untuk bersuka ria, dan diisi dengan dosa kebanyakannya. Ternyata, dia gembira sementara, kemudian merana selamanya. Alangkah rugi.
    Melihat kependekan masa beramal ini jugalah, saya jadi teringat dengan Surah Al-‘Asr. Betapa benarnya firman ALLAH SWT di dalam surah pendek itu. Sungguh menginsafkan.
    “ Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh. Yang berpesan-pesan kepada kebenaran, dan berpesan-pesan kepada kesabaran” Surah Al-‘Asr ayat 1-3.
    Melihayt rajah itu kembali, membuatkan saya benar-benar terkesan dengan ayat ALLAH SWT yang saya sering ulangi, yakni Surah Ali-Imraan ayat 185,
    “ Setiap yang bernyawa pasti akan merasai kematian, dan di akhirat kelak balasan kamu akan disempurnakan, barangsiapa yang diselamatkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka dia sesungguhnya telah berjaya. Sesungguhnya tiadalah dunia ini melainkan kesenangan yang menipu daya”
    Bagaimana anda?
    Tidakkah sedikit sahaja masa kita beramal?
    Apa yang anda tunggu lagi?
    Masih hendak mensia-siakan waktu?

    Posted in: Diari, Tazkirah.
    http://ms.langitilahi.com/hakikat-kehidupan-insan/


    http://faisalmustaffa.wordpress.com/2010/03/18/kehilangan-bukan-musibah-tetapi-ujian/

    http://genta-rasa.com/2010/03/29/887/#more-887


    http://www.zaharuddin.net/content/view/925/72/


    http://serupasekala.blogspot.com/

    http://www.mymaktabaty.com/

    http://ms.langitilahi.com/hakikat-kehidupan-insan/

    0 comments: